Thursday 7 August 2014

Pendahuluan


“Pepatah dan bidalan melayu” merupakan sebahagian dari jenis-jenis peribahasa yang mempunyai  ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan ayat yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa memainkan peranan yang penting dalam masyarakat di negara kita terutamanya di kalangan orang-orang Melayu. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan sesuatu nasihat, teguran, atau ingatan secara kiasan atau sindiran. Pada hematnya, dengan menggunakan peribahasa banyak teguran, nasihat, dan sindiran dapat disampaikan tanpa menimbulkan rasa marah atau kecil hati pada orang lain.

      Peribahasa wujud apabila masyarakat Melayu menyedari betapa susahnya untuk memberikan nasihat atau teguran secara terus-terang kepada orang lain tanpa menyinggung perasaannya. Lantas, mereka mula mengumpamakan sesuatu perkara dengan sesuatu yang lain agar maksud yang ingin disampaikan dapat ditafsirkan oleh semua orang. Seringkali perkara yang diumpamakan itu berkaitan secara langsung dengan anggota masyarakat dan alam sekeliling mereka.

          Sesungguhnya tujuan utama penciptaan peribahasa adalah untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat pada zaman dahulu kala, peribahasa juga berfungsi sebagai pengawal sosial. Hal ini bermaksud masyarakat dahulu kala sering menegur anggotanya dengan cara berkias ibarat melalui peribahasa. Dengan cara demikian, orang yang ditegur tidak mudah tersinggung. Begitulah juga dengan pihak penegur yang lazimnya terdiri daripada orang tua-tua, tidak akan berasa segan untuk berbuat demikian apabila diperlukan.     
   
          Misalnya, apabila seorang tua yang ingin menegur sikap bebas anak gadisnya akan menggunakan peribahasa yang berbunyi “takkanlah perigi yang mencari timba”. Dalam konteks lain pula, seorang guru akan menasihati anak muridnya yang berasa malu untuk bertanya sesuatu dengan menggunakan peribahasa ini, “malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut”. Penggunaan peribasa ini adalah berunsur nasihat dan penyampai bertujuan tidak menyinggung perasaan kepada penerima atau pelaku.

           Dalam tugasan ini, saya ingin memfokuskan perbincangan dengan menghuraikan “ Pepatah 
dan Bidalan Melayu” berdasarkan contoh-contoh yang sesuai.  Untuk menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai pengertian dan perbezaan “Pepatah dan Bidalan”.

Definisi Pepatah






Pepatah didefinisikan sebagai susunan bahasa yang menjadi sebutan yang berkaitan dengan sesuatu peristiwa kehidupan masyarakat sehari-hari. Pepatah berasal daripada adat resam dan berfungsi sebagai pedoman dalam kehidupan bermasyarakat dan bentuknya berkerat-kerat atau berpatah-patah. Contoh pepatahKalau Tidak Dipecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya”.  Maksud pepatah jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya bermaksud sesuatu cita-cita atau matlamat itu tidak akan tercapai tanpa usaha.Bagi mencapai sesuatu matlamat, seseorang itu harus berusaha. Usaha yang berterusan harus mempunyai elemen-elemen berikut : (taufikhidayah11.blogspot.com/)

  •  Mempunyai kemahuan yang kuat mencapai kejayaan.
  • Mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa usaha yang hebat akan menghasilkan kejayaan.
  • Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dan sanggup membantu orang lain bagi mencapai kejayaaan yang sama
  • Mempunyai kaedah yang hebat untuk Berjaya

     2.2 Pepatah “Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya”.

  Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya” bermaksud jika kita berkehendakkan sesuatu kejayaan kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Jika kita hendakkan keputusan peperiksaan yang cemerlang kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh, banyakkan mengulang kaji nota-nota dan buat catatan yang membolehkan kita dapat mengingati fakta-fakta yang kita pelajari supaya kita dapat menjawab soalan peperiksaan kelak. Untuk menerangkan lebih lanjut maksud pepatah di atas, sebagai contoh, seorang pelajar sekiranya ingin mencapai cita-cita di masa hadapan, dia mestilah belajar dengan tekun tanpa mensia-siakan masa. Setiap orang mempunyai cita-cita yang tersendiri. Ada orang yang ingin menjadi doctor, peguam dan berbagai-bagai lagi. Untuk mencapai cita-cita ini, mestilah berusaha bermula dari peringkat sekolah rendah, menengah dan seterusnya ke universiti. Di masa peringkat-peringkat tersebut, kita hendaklah belajar dengan gigih dan tekun tanpa mencuaikan pelajaran dan masa. Dengan ketekunan dan usaha yang  gigih, tentu sahaja kita akan berjaya. Pepatah yang mempunyai maksud yang sama dengan pepatah di atas ialah “Berakit –rakit ke hulu, berenang –renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.

    Sebagai contoh, seorang petani yang berpendapatan rendah pastinya mempunyai cita-cita untuk menambahkan lagi hasil pendapatannya. Oleh itu, petani ini mestilah rajin mengerjakan kebunnya dengan baik. Hasil daripada jualan pendapatan daripada kebunnya hendaklah dikumpulkan sedikit-sedikit. Wang yang dikumpulkan itu tentunya akan menjadi banyak dan  boleh untuk membeli alat-alat pertanian moden. Pembelian baja-baja dan racun-racun serangga serta peralatan moden membolehkan hasil keluaran meningkat. Dengan adanya kewangan yang cukup akan membolehkan pekebun ini meluaskan tanah kebunnya. Di sinilah letaknya kejayaan seorang pekebun setelah bersusah-payah terlebih dahulu untuk meninggikan lagi pendapatan dan mencapai cita-citanya untuk menjadi petani moden yang berjaya.

     Dari contoh di atas dapatlah kita lihat betapa penting usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai satu cita-cita. Tanpa usaha, seseorang itu tidak akan mencapai segala cita-citanya.

     Pengajaran penting yang dapat dipelajari daripada pepatah ini ialah kita janganlah lekas berputus asa jika berhadapan dengan sesuatu masalah. Kita mestilah menanam semangat yang gigih bagi mencapai cita-cita yang kita idam-idamkan.

Definisi Bidalan





Bidalan ialah kata-kata yang sering disebut dan mempunyai nasihat serta pengajaran di dalamnya (Kamus Dewan). Bidalan juga merupakan sejenis peribahasa yang memaparkan unsur nasihat, pedoman, atau pengajaran kepada masyarakat  dalam bentuk ungkapan yang ringkas. Bidalan juga membawa maksud yang tidak sama dengan maksud perkataan yang digunakan. Bidalan mempunyai maksudnya yang tersirat  di sebalik susunan kata-kata yang membentuknya. Bidalan tidak mengandungi  sesuatu kata yang tertentu seperti perumpamaan. Contoh bidalan  “Di Mana Ada Kemahuan, Di Situ Ada Jalan “

Bidalan “Di Mana Ada Kemahuan, Di Situ Ada Jalan
              
Bidalan “Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan”.  Bidalan ini membawa maksud, sekiranya kita berkehendakkan sesuatu, kita harus berusaha, untuk mencapai matlamat yang ingin kita kecapai , berbagai strategi  harus dipilih untuk dilaksanakan bagi mencapai matlamat yang ingin dicapai. walau bagaimana sukar sekalipun pekerjaan tersebut, kita tetap berusaha untuk melaksanakannya. Jadikanlah kepayahan sebagai motivasi untuk mencapai kejayaan. 

    Bidalan ini sinonim dengan bidalan “ hendak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Contohnya, jika seseorang itu mahu akan sesuatu maka dia perlulah berusaha sedaya upaya. Sekiranya kita bercita-cita untuk menjadi seorang doctor, seharusnya kita telah belajar dengan gigih dan bersungguh-sungguh dari peringkat rendah dan menengah lagi. Apapun cabaran yang yang menghalang dihadapan pasti kita dapat menghadapinya dengan adanya usaha yang berlipat ganda dari pihak kita sendiri, contohnya dapatkan bantuan daripada guru-guru dan kawan karib yang boleh membantu.  Begitu juga halnya jika seseorang itu gagal dalam mencapai sesuatu, dia mesti berusaha dengan lebih gigih dan lebih tabah lagi. Kegigihan dan ketabahan berusaha akan menjanjikan kejayaan yang berlipat ganda.  

    Sebaiknya-baiknya, kepayahan dan kegagalan masa lalu boleh dijadikan penggerak untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, kita tidak seharusnya cepat berputus asa. Usaha serta ikhtiar yang maksimum mampu menukar khayalan menjadi realiti. 

    Sehubungan dengan itu, jika seseorang itu bertekad mahu menebus kegagalannya, dia akan melakukan pelbagai usaha dan ikhtiar. Jika kita tidak bersemangat maka berbagai-bagai alasan akan diberikan. Untuk berjaya, alasan perlu dijauhkan.

    Berdasarkan maksud bidalan ini, ternyata bahawa tujuan penciptaannya untuk mengingatkan kita supaya sentiasa mempunyai semangat juang dan sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi semua cabaran  dan dugaan.  Hal ini sedemikian kerana sudah pasti kita dapat menempuhnya dengan baik dan penuh keyakinan jika kita mempunyai semangat juang yang kuat. Oleh itu, bidalan ini sesuai dijadikan pegangan hidup atau pedoman oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira ras, agama atau latar belakang kehidupan.

    Dalam kehidupan seharian, isi tersirat dalam bidalan  ini wajar kita amalkan. Misalnya, semasa kita dalam menghadapi masalah dalam kehidupan, kita jangan mudah putus asa, kita seharusnya sentiasa mencari jalan penyelasaian, kerana sekiranya kita berusaha kita boleh menghadapi semua cabaran dan beroleh  kejayaan.

    Pengajaran penting yang kita dapat dalam bidalan ini ialah dalam kehidupan seharian, kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapi tujuan atau cita-cita kita.  Apapun rintangan yang menghalang kita pasti ada jalan sekiranya kita berusaha tanpa rasa putus asa.

Kesesuaian dan Kelogikan Pepatah dan Bidalan Masa Kini



Pada pendapat saya penggunaan Pepatah dan Bidalan Melayu masa kini dalam konteks warisan budaya dan ketrampilan penggunaan bahasa adalah masih sesuai, kerana peribahasa merupakan salah satu unsur kekayaan sesuatu bahasa dan diaplikasikan oleh setiap manusia. Penggunaan ungkapan sesuatu  peribahasa mempunyai makna yang  tersirat yang cukup mendalam. Penggunaan sesuatua peribahasa juga adalah untuk mengelakkan penyampaian sesuatu teguran itu menyinggung perasaan. Hal ini juga adalah bertujuan untuk kelancaran komunikasi lisan dan tulisan. 

                 Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan pepatah dan bidalan yang dicipta orang dahulu kala masih benar dan sahih sehingga kini, namun terdapat sebilangan kecil pepatah dan bidalan tersebut yang tidak dapat diterima pakai lagi pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang serba moden dan canggih ini. Contohnya “Rezeki secupak tidak akan menjadi segantang”, “Biar mati anak, jangan mati adat”, dan “Hutang darah dibayar darah”.

                Pada pendapat saya secara peribadi, ketiga-tiga contoh pepatah dan bidalan  yang dikemukakan di atas tidak sesuai digunapakai pada masai kini, kerana beberapa alasan seperti yang diterangkan di sini. Contoh pepatah dan bidalan yang pertama jika diamalkan bukan saja dapat mematikan semangat juang seseorang individu, malah akan menjadikannya seorang yang tidak menginginkan kemajuan. Sekiranya seluruh masyarakat berpegang pada fahaman sedemikian, maka masyarakat tersebut akan berada di takuk lama dan tidak mempunyai semangat juang untuk bersaing dalam memajukan diri.

         Sementara bidalan  yang kedua lebih mementingkan adat daripada anak sendiri. Dalam konteks ini, masyarakat dahulu kala mementingkan kelompok daripada individu. Namun pada dewasa ini, para ibu bapa tidak sanggup lagi mengorbankan anak sendiri semata-mata untuk mempertahankan adat masyarakat. Sebaliknya, anaklah yang diutamakan daripada segala-galanya. Itulah nilai masyarakat hari ini.

         Contoh bidalan  yang ketiga pula tidak harus dipraktikkan kerana mendorong keluarga mangsa bertindak balas terhadap pembunuhnya. Sekiranya hal sedemikian dilakukan, masyarakat akan menjadi tidak tenteram. Pada masa sekarang kita mempunyai pasukan polis dan badan kehakiman, jadi biarlah mereka yang menjalankan siasatan terhadap sebarang jenayah dan manjatuhkan hukuman ke atas pesalah.

        Pepatah dan bidalan  yang tidak sesuai dipraktikkan masa kini dengan suasana masyarakat yang sudah ke arah kemodenan tidak seharusnya diamalkan lagi demi kesejahteraan masyarakat